Assalamualaikum wrt
Sudah beberapa kali saya tayangkan klip video Burung Murai ini ketika berceramah - dan yang menghairankan - setiap kali saya tayangkan, air mata ini akan meleleh. Dalam satu sessi ceramah, menurut isteri saya yang turut juga berada dalam majlis tersebut, salah seorang peserta dilihat mengesat air matanya - sedih menyaksikan klip tersebut, walhal itu bukan merupakan pertama kali beliau menyaksikannya.
Agaknya ia banyak menyentuh apa yang berlaku dalam hidup kita seharian. Perkara pertama yang biasa saya akan sentuh ialah berkenaan dengan komen isteri hamba Allah dalam filem tersebut. "Hari ini merupakan salah satu hari yang paling bahagia dalam hidupku. Melihat suamiku yang jarang ada di rumah sedang melayani kerenah anak sulungku..."
Biasanya saya akan memberhentikan klip tersebut dan bertanya - mengapa si isteri merasa bahagia dalam kehidupannya pada waktu itu? Jawapannya kerana ia terlihat suaminya melayani karenah anak sulungnya. Pembaca yang dihormati. Rupanya apabila kita bermain dengan si anak kecil, bukan sahaja ia merupakan satu petanda bahawa hati kita ini lembut dan merupakan satu perkara yang dimuliakan Islam, ia juga akan menggembirakan hati seorang isteri justeru akan merapatkan lagi hubungan kasih mesra suami isteri di rumah.
Umur 1 - 7 tahun merupakan masa bermain bagi si anak. Ibu dan bapa jangan tinggalkan si anak keseorangan pada waktu ini. Jangan biarkan si anak hanya menghadap TV sepanjang hari, bermain video games atau komputer. Si anak perlukan belaian kasih mesra si ibu dan bapa. Si bapa terutamanya kena kreatif dalam melayani karenah si anak. Natijahnya nanti, bukan sahaja si anak akan terbentuk sifat kasih mesranya dengan si bapa, ia akan meningkatkan tahap kreativiti si anak.
Kadangkala kesian lihat si anak yang ketandusan kasih sayang seorang ayah yang sudah sedia sibuk dengan tugas hariannya. Kononnya sibuknya itu adalah untuk membahagiakan si anak di rumah. Namun masa-masa terluang yang beliau ada di rumah tidak digunakan sepenuhnya bagi melayani si anak kecil yang dahagakan kasih sayang. Kekadang terpahat dalam minda si bapa - Kerja aku cari duit - kerja ibu melayani anak......
Wassalam
Dr Hishamuddin Alham
Thursday, February 04, 2010
Burung Murai
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment