0

You can buy medicine but you cannot buy health




Assalamualaikum wrt

Saya nak kongsi sedikit apa yang saya baru dengar dari ceramah Ustaz Shamsuri. Terngiang-ngiang ungkapan - "You can buy medicine but you cannot buy health" - Anda boleh beli ubat tetapi tidak boleh beli kesihatan.

Sesaorang yang zuhud - bukanlah seorang yang tidak ada duit, rumah serba tak lengkap dan baju kusut masai. Sesaorang yang zuhud ialah seorang yang sentiasa mengharapkan apa yang ada pada Allah dari apa yang ada pada manusia. Dia mungkin seorang yang kaya raya - tetapi kekayaannya itu tidak menjadikan dia lupa dan sombong. Orang ini tidak mungkin sombong bila dia sihat tubuh badan... kerana dia hanya berharap pada Allah dan tidak overconfident pada apa yang ada padanya atau pada manusia.


Di kisahkan bagaimana seorang kaya raya telah dihinggapi penyakit cancer mulut. Entah berapa ratus ribu telah dihabiskan untuk mengubati penyakitnya - namun tidak juga sembuh. - Dengan duit memang ubat boleh dibeli tetapi duit tidak boleh beli kesihatan. Hanya Allah boleh beri kita kesihatan.

Seperkara lagi, seorang yang zuhud juga tidak merungut bila diuji dengan kesusahan. Sering kita dengar orang mudah lupa daratan bila dapat nikmat dan merungut bila ditimpa kesusahan.

Ungkapan seterusnya yang masih terngiang di telinga - "You can buy a house but cannot buy home" - Duit boleh beli rumah tetapi tidak boleh beli kediaman (home). Rumah yang mewah tidak menjanjikan ketenteraman pada penghuninya. Rumah yang besar dan penuh dengan alat kebanggaan - tidak menjanjikan ketenteraman pada keluarga yang menghuni di dalamnya. Ketenteraman tidak mungkin akan diperolehi jika penghuninya hidup dalam keadaan serba lupa dan ingkar dengan perintah Allah.

Dalam masa yang sama - satu keluarga mungkin hidup aman damai, selesa dan saling sayang menyayangi di dalam rumah yang mungkin sederhana. Duit tidak boleh membeli kebahgiaan. Kebahgiaan itu sebenarnya milik mereka yang kehidupannya selari dan secocok dengan kehendak Allah swt - tidak kira samada mereka itu kaya atau miskin, rumah mereka besar atau sempit.

Wassalam

Dr Hishamuddin Alham

1

Kuasa Allah dan kebaikan hamba Allah

Assalamualaikum wrt

Saya baru berkenalan dengan seorang hamba Allah dari Bali. Asalnya beliau beragama Hindu dan kini sudah memeluk Islam. Orangnya "simple" - tinggal di pondok buruk yang dibuatnya sendiri di tengah-tengah kebun yang dijaganya. Kebun 8 ekar luasnya diamanahkan oleh seorang toke Cina kerana beliau begitu amanah.

Dia dipercayai sehingga pernah diamanahkan duit lebih dari RM100,000 oleh tokenya. Rezekinya cukup murah. Allah sahaja yang mengetahui betapa baik dan lembut hatinya ini. Antara kegemaran beliau ialah membela binatang. Saya sudah dijadikan seperti saudara kandungnya. Saya berkunjung ke teratak buruknya dan berkenalan dengan DIDIT, seekor kambing yang begitu jinak. Saksikan sendiri dalam klip video ini.



Uniknya tuan haji ini (beliau sudah menunaikan haji), beliau sangat pemurah dan penyayang. Beliau boleh urut orang yang kencing manis, darah tinggi dan stroke. Pernah satu ketika seorang hamba Allah berkata padanya, "Jika saya boleh berjalan, saya ke masjid setiap hari" Hamba Allah ini kena stroke.

Dengan kuasa Allah, setelah diurut, beliau mampu berjalan. Allahu Akbar.

Tapi beliau jelas, "Saya usaha... saya enggak bisa menyembuhkan... ini semua Kuasa Allah. Saya usaha sahaja...." Tersentuh hati ini mendengarnya.

"Berapa bayarannya pak?" ..."Maaf - saya urut ini bukan saya niagakan. Saya dapat belajarnya pun masa saya di Mekah" Tapi kami berikan padanya sekadar kemampuan sebagai upah penat. Kalau duit ni - beliau tak hairan kerana businessnya pun sudah banyak Alhamdulillah.

Beliau tenang berada di teratak buruknya bersama ayam dan kambing dan kebun-kebun. "Hati saya tenang. Saya syukur, Allah beri saya petunjuk" Kini saudara saya di KL sedang menginap di rumah saya kerana inginkan perkhidmatan dari beliau untuk diurut selama seminggu.

Wassalam

Dr Hishamuddin Alham

0

Sejuk Hati Ini

Assalamualaikum wrt

Sejuk benar hati ini mendengar dengungan suara pelatih (istilah digunakan untuk mereka yang menghuni Raudhatus Sakinah) mengaji. Hari itu, hari Khamis. Mereka baru sahaja membuka puasa bersama isteri saya dan juga Pengurus RS.

Petang tadi, pengurus RS telah datang untuk mengajar mereka masak kerabu. Enak sungguh hidangan tersebut.

Walaupun baru sebulan lebih beroperasi - namun dengan izin Allah swt, sudah nampak kesan pada remaja-remaja ini. Mana taknya - setiap pagi kena bangun sembahyang tahajjud, pada hari Isnin dan Khamis mereka berpuasa sunat. Antara mangrib dan Ishak mereka akan mengaji. Di sebelah siangnya pula mereka akan dikunjungi oleh sukarelawan yang mengajar mereka pelbagai kemahiran - menjahit, memasak, mengait dsg. Saya sedar - hanya dengan Islam sahaja masyarakat kita dapat diselamatkan.

Kalau dulu, ada yang masuk ke RS dengan muka yang masam - namun kini sudah nampak keceriaannya. Walaupun mereka tahu, mereka akan berada di situ selama 1 tahun 1 bulan, namun, mereka mendapat merasai nikmat ukhuwwah (persaudaraan berasaskan Islam) dari sukarelawan. Agaknya keikhlasan sukarelawan yang bekerja tanpa mengharap walaupun satu sen duit, telah diberkati Allah swt sehingga dirasai sendiri oleh pelatih.

Saya bersyukur sungguh dapat berkenalan dengan individu-individu seperti ini - yang sanggup bekerja demi mencari keredhaan Allah swt. Sesungguhnya kemanisan bekerja ini akan dirasai oleh mereka yang ikhlas.

Memanglah cabaran tu memang banyak. Maklumlah yang datang tu ada yang telah berzina entah dengan berapa orang lelaki... dia pun tak ingat. Ada yang mengandung sedang menunggu tarikh kelahiran anaknya.

Tersentuh hati saya bila isteri saya berkata, "Salah seorang yang mengandung tu dok sebut nak makan ubi rebus." Kebetulan petang tu kami bawa ubi yang dihadiahkan oleh seorang rakan. Anda boleh bayangkan tak betapa gembiranya gadis tersebut. Dan bayangkan betapa gembiranya hati warden dan kami yang berada di situ. Allah sahaja yang tahu. Ya Allah - selamatkanlah mereka ini dan selamatkan generasi muda kami di Malaysia ini. Janganlah kau siksa kami lantaran kealpaan kami mengerjakan amar maaruf dan nahi mungkar.... ameen

Bagaimana anda boleh membantu - sumbangkanlah dalam bentuk kewangan dan do'a. Sesungguhnya yuran yang disumbangkan oleh remaja setiap bulan memang tidak mencukupi. Namun kami tidak mahu remaja di luar sana tidak mendapat khidmat hanya kerana kekurangan duit.

Wassalam

Dr Hishamuddin Alham