Sunday, January 31, 2010

Sejuk Hati Ini

Assalamualaikum wrt

Sejuk benar hati ini mendengar dengungan suara pelatih (istilah digunakan untuk mereka yang menghuni Raudhatus Sakinah) mengaji. Hari itu, hari Khamis. Mereka baru sahaja membuka puasa bersama isteri saya dan juga Pengurus RS.

Petang tadi, pengurus RS telah datang untuk mengajar mereka masak kerabu. Enak sungguh hidangan tersebut.

Walaupun baru sebulan lebih beroperasi - namun dengan izin Allah swt, sudah nampak kesan pada remaja-remaja ini. Mana taknya - setiap pagi kena bangun sembahyang tahajjud, pada hari Isnin dan Khamis mereka berpuasa sunat. Antara mangrib dan Ishak mereka akan mengaji. Di sebelah siangnya pula mereka akan dikunjungi oleh sukarelawan yang mengajar mereka pelbagai kemahiran - menjahit, memasak, mengait dsg. Saya sedar - hanya dengan Islam sahaja masyarakat kita dapat diselamatkan.

Kalau dulu, ada yang masuk ke RS dengan muka yang masam - namun kini sudah nampak keceriaannya. Walaupun mereka tahu, mereka akan berada di situ selama 1 tahun 1 bulan, namun, mereka mendapat merasai nikmat ukhuwwah (persaudaraan berasaskan Islam) dari sukarelawan. Agaknya keikhlasan sukarelawan yang bekerja tanpa mengharap walaupun satu sen duit, telah diberkati Allah swt sehingga dirasai sendiri oleh pelatih.

Saya bersyukur sungguh dapat berkenalan dengan individu-individu seperti ini - yang sanggup bekerja demi mencari keredhaan Allah swt. Sesungguhnya kemanisan bekerja ini akan dirasai oleh mereka yang ikhlas.

Memanglah cabaran tu memang banyak. Maklumlah yang datang tu ada yang telah berzina entah dengan berapa orang lelaki... dia pun tak ingat. Ada yang mengandung sedang menunggu tarikh kelahiran anaknya.

Tersentuh hati saya bila isteri saya berkata, "Salah seorang yang mengandung tu dok sebut nak makan ubi rebus." Kebetulan petang tu kami bawa ubi yang dihadiahkan oleh seorang rakan. Anda boleh bayangkan tak betapa gembiranya gadis tersebut. Dan bayangkan betapa gembiranya hati warden dan kami yang berada di situ. Allah sahaja yang tahu. Ya Allah - selamatkanlah mereka ini dan selamatkan generasi muda kami di Malaysia ini. Janganlah kau siksa kami lantaran kealpaan kami mengerjakan amar maaruf dan nahi mungkar.... ameen

Bagaimana anda boleh membantu - sumbangkanlah dalam bentuk kewangan dan do'a. Sesungguhnya yuran yang disumbangkan oleh remaja setiap bulan memang tidak mencukupi. Namun kami tidak mahu remaja di luar sana tidak mendapat khidmat hanya kerana kekurangan duit.

Wassalam

Dr Hishamuddin Alham

No comments:

Post a Comment